Thursday, July 15, 2010
BILA ORANG BERBUAT SALAH
Semoga Allah S.W.T. melindungi saya yang fakir ini dan juga kalian, dari perasaan amarah yang menjadi musuh yang bernanah di dalam hati kita, semoga Allah S.W.T. memberi petunjuk kepada saya dan kalian dalam memperbaiki diri agar lebin baik daripada semalam.
Ada orang tidak sehaluan dalam menjalinkan kehidupan kekeluargaan, orang yang tidak suka berjiran, orang yang tiada nikmat dalam pekerjaan adalah orang yang hatinya sangat busuk dan tengit, ingatlah semakin hati kita penuh dengan kesombongan, semakin hati padat dengan kedengkian, dan kebencian, akan habislah semua waktu kita hanya untuk sifat ini. Sungguh sangat berbahagia orang yang hatinya bersih, lapang dan tiada masalah, kerana kenikmatan suasana hidup bergantung kepada hati, walaupun terhimpit hidupnya tidak menjadi masalah bagi orang yang berhati lapang, sebaliknya hidup di tanah yang lapang tapi jikalau hatinya terpenjara, tetap akan menjadi masalah.
Sesuatu mesti dilakukan agar seseorang merasakan bening hatinya adalah dengan menyingkap ketika orang lain berbuat salah, jiran kita berbuat salah, rakan sekerja berbuat salah, majikan kita berbuat salah ini kerana mereka bukanlah malaikat, Namun yang menjadi masalah bagaimana kita menguruskan kesalahan orang lain.
Kaedah untuk menyelesaikan masalah ini sangat mudah, kaedahnya ada pada diri kita sendiri apa yang kita ingin daripada sikap orang lain pada kita ketika kita berbuat salah? kita berharap orang lain tidak marah kepada kita, harapan kita agar orang lain memberitahu kesalahan kita dengan penuh kesantunan, kita juga tidak ingin orang lain memarahi kita atau mempermalukan kita di khalayak, walaupun hukuman yang dijatuhkan kita ingin di adili dengan penuh etika, kita juga berharap diberi peluang untuk memperbaiki diri. Jika keinginan ini ada pada diri kita, mengapa ketika orang lain berbuat salah, kita hamburkan dengan caci maki, menghina, memarahi dan juga kita selalu menzalimi.
Sahabatku, ketika orang lain berbuat salah, jika posisi kita sebagai penerima masalah, haruslah kita bersabar dengan tiga peringkat iaitu: sabar, sabar dan sabar, jika kita sebagai orang yang menerima masalah itu, walau dalam apa jua keadaan kita harus mempersiapkan diri untuk di kecewakan.
Andai kata ada orang yang melakukan kesalahan, maka haruslah kita berfikir adakah orang yang berbuat salah ini tahu yang ia telah melakukan kesalahan,kerana ada orang yang melakukan kesalahan dan dia tidak mengerti kesalahannya, kia haruslah membantu orang tersebut mengetahui jalan untuk menyelesaikan kesalahannya, membantu orang itu agar lebih bersemangat dalam memperbaiki dirinya, kaedah ini adalah lebih baik dari memaki hamun, dan memalukannya, jika yang melakukan kesalahan adalah anak-anak kita, isteri kita, dan keluarga kita, mereka itu adalah sebahagian daripada diri kita, sanggupkah kita memakinya dan tidak memberi peluang untuk mereka berubah, pimpinlah oramg yang melakukan kesalahan kerana itu akan memberi mereka kekuatan untuk melakukan perubahan.
Wahai sahabatku, jadilah seseorang yang berusaha membantu orang lain menyelesaikan masalah yang di hadapinya, membantu orang lain keluar dari masalahnya agar ia tahu cara menguruskan masalahnya, dan membantu orang ynag berbuat salah agar bersemangat dalam memperbaiki dirinya.
Jika kita melihat orang yang meninggalkan solatnya harus kita bantu agar mengingatkan bertapa pentinya solat, membantu mengajarnya cara-cara bersolat, membantunya bersolat dengan penuh istiqomah, jika rakan kita seorang penagih dadah, haruslah kita memberitahunya bahayanya dadah.Kita haruslah dalam keadaan bersedia membantu, orang yang pemikirannya selalu ingin membantu dan memperbaiki orang lain, dia tidak pernah membenci kepada sesiapa pun,Jika di banding dengan orang yang hanya menghukum dengan memaki hamun, menempelak, mencela dan menghina, orang itu adalah lubuk kesalahan-kesalahan.
Ya Rabby,jauhkan kami semua dari semua sifat menghukum, kerana itu adalah sifat bagimu Ya Rabby, Ya Rabbana, jika ada diantara kami yang melakukan kesalahan bantulah kami menyelesaikannya, kerana hanya dengan bantuanMu sahaja dapat kami memperbaiki diri, kerana tiada daya upaya kami dalam menyusuri hari-hari tanpa redo Mu Ya Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment