Sunday, June 10, 2012

SEBELAS IKHLAS TERAKHIR UNTUK AKHI RAMLI





Pemergian bukanlah satu pengakhiran tetapi sebuah permulaan kehidupan,

hidup didunia ini adalah tanaman untuk tuaian di akhirat, itulah tujuan hidup,
hidup yang fana ini, demi kelansungan hidup yang baqa itu.

Ingatan itu menggangu saya ketika tanah hampir menutupi keranda,
suasan sepi di tanah perkuburan Masjid Al-Irsyad Telok Bagan mengamit pelbagai rasa,

Begitulah takdir Allah,
baru kelmarin saya menziarah Akhi Ramli, Bilik Wadnya telah ditukar kerana kondisi kesihatannya telah stabil, sempat juga saya menuturkan kalimah syahadah dicuping telinganya, Alhamdulillah, bait-bait ayat itu meniti dibibirnya, dan saya panjatkan Doa agar Allah teguhkan imannya dalam menempuh ujian ini .
Namun Allah lah sebaik-baik pentadbir, sayangnya Allah kepadanya melebihi segala-galanya,
TANJIZIL HADISNYA telah ditepati, malaikat itu datang menjemputnya seusai Solat Subuh yang penuh barakah.

Wahai jiwa yang tenang . Kembalilah kepada Tuhanmu dengan redo dan diredoi,
Detik itu telah datang. Itu janji kita sejak dulu…
sanggup datang, sanggup pulang.
Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.

Ketika talkin dilafazkan oleh Imam Haji Kadir, Ustaz Mahmud dan Ustaz Fuad, saya menjamahnya satu persatu, itulah soalan yang sering bocor untuk pemerhati yang masih melata di bumi Allah ini, tapi mampukah kau dan kami menjawab, waktu itu Iman dan Amal akan mengemudi tutur bicara, akal dan nafsu harus mati bersama jasad, Ya Rabb Engkau Jinakkan Iman dan Amal Akhi Ramli, agar lancar tutur bicaranya untuk menuju Raudatul JannahMu dan Engkau Ampunkanlah segala kekhilafan kami semasa pelayaran didunia ini.

Malam ini, tahlil terakhir di rumah mu Akhi, saya hadiah kan sebelas surah Al-Ikhlas untuk mu, buat bekalan sepanjang perjalanan yang haakiki itu.

Dan untuk anak-anak dan isterinya

Ratapmu tak pernah ia lupa
Bukan dia tega
Bukan dia rela
Tetapi ia terpaksa pergi jua

Walaupun hatinya terguris luka
Walaupun langkahnya tertumang cinta
Izinkan ia pergi jua
Kerana PENCIPTA cintanya telah menjemputnya

Dan untuk kita

Di Pertemukan kita dalam medan yang mengajar erti perjuangan,
masih aku pegang lagi semangat perjuangan itu,
ketika sangkakala bertiup, padi yang mahu ditanam harus ditanam,
maka dalam tiupan angin mehnah yang datang dengan 1001 hikmah ini,
janganlah duhai kekanda engkau berhenti berlari,


Berlarilah kita...........................


Aku tidak mahu membayangkan apa-apa tentang dirimu,
melainkan engkau seorang pejuang yang terus berlari,
ke sebuah destinasi.

Tuesday, June 7, 2011

BERSEDIAKAH KITA UNTUK PULANG


Dalam kesibukan kita sebagai manusia mencari kesempurnaan dunia, ada di antara kita yang terlupa akan kesempurnaan rohaniah untuk di bawa pulang nanti bertemu yang Maha Esa.

Sering dijadikan alasan "masa" menjadi penghalang untuk berbuat amal kebaikan apatah lagi ibadah.
Kalau difikirkan dari aspek perkerjaan....yang lain pun ada tanggungjawab masing-masing. Tetapi mengapa ada pihak yang mampu menyempurnakannya?

Di sini bukanlah saya cuba mengatakan diri saya ini begitu sempurna... hanya sedikit pengatahuan yang diizinkan oleh Allah swt kepada saya untuk dikongsi bersama.

Hidup kita yang sangat singkat ini, penuh dengan banyak perkara dan tanggungjawab untuk dilaksanakan.
Tatkala kita sibuk mengerjakan yang lain, kita sering terlupa mengerjakan yang wajib.
Sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia perlu mencari keperluan dalam hidup.

Tetapi apalah salahnya kalau kita praktikkan sedikit masa untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang kita pada Allah yang Maha Mengasihi lagi Maha Pemberi.

Kalau dilihat dari aspek masa yang sering menjadi persoalan atau lebih tepat lagi faktor utama kepada kita, kalau tidak silap kita ada 24 jam sehari.

Kita berkerja lebih kurang 8 hingga 10 jam sehari. Kita berehat pula lebih kurang 5 hingga 8 jam.
Kalau dikira masa yang memang betul-betul kita gunakan lebih kurang 18 jam. Tapi kita ada 24 jam. Kita ada lebih kurang 6 jam lagi.

Mari kita lihat berapa banyak masa yang diambil untuk mengerjakan solat yang telah diwajibkan ke atas kita.
Kalau saya kira masa yang diambil kalau kita berjemaah di masjid. Jika 4 rakaat + wirid + doa = 15 minit.
Kalau kita kira purata dalam 15 minit satu waktu... 15 x 5 = 1 jam 5 minit.. ada baki lagi dalam 4 jam setengah.

Setiap apa yang telah difardhukan ke atas kita adalah tanggungjawab yang kita perlu lakukan walau dalam apa keadaan sekali pun. Ini kerana setiap apa yang wajib itu ada kebaikannya.

Contohnya solat itu sendiri. Selain sebagai penenang jiwa ia juga merupakan "magnet" rezeki. Jadi kenapa perlu kita abaikan? Padahal awalnya tadi kita sendiri yang sibuk dengan pencarian nafkah hidup.

Bila sudah diberikan peluang oleh Allah swt untuk dipermudahkan, kenapa kita perlu pilih jalan yang susah? Itu baru satu, masih banyak lagi amal ibadah yang membawa kebaikan secara terus menerus kepada kita.
Jadi tunggu apa lagi? Rebutlah peluang sementara kita masih ada kudrat melakukannya. Janganlah kita berputus pada rahmat Allah, sesungguhnya Allah swt itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Dan takkan pernah Dia mahu melihat hamba-hamba-Nya dalam kesusahan. Seruan saya pada diri saya dan yang lain. Marilah kita perbanyakkan ibadah kita; mudah-mudahan kita akan dirahmati-Nya.

Friday, April 22, 2011

POHON-POHON SABAR


Sabar; satu perasaan, tindakan yang tidak dapat didefinasikan.

Ramai yang mudah berkata "sabar ye?" apabila orang lain ditimpa masalah, tapi apabila diri sendiri diuji dengan ujian yang amat dahsyat, masihkah lagi perkatan sabar dapat bertahan dalam diri?
Ayuh! kita belajar bagaimana ingin membuah sabar.
Meminjam peribahasa "lain lubuk lain ikan" disamakan dengan "lain orang lain ujiannya".
Setiap ujian yang ALLAH beri berbeza-beza tertakluk pada kemampuan hamba-Nya. Lupakah kita pada firmannya?

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." - Surah Al-Baqarah, 286

Lihat! Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, Dia tidak akan timpakan kita dengan sesuatu yang kita tak mampu. Dia juga tidak akan jadikan suatu ujian itu sia-sia tanpa ada hikmah disebaliknya.

Ujian Rasulullah

Kita singkap kembali sirah, baginda Nabi Muhammad s.a.w, ujian  yang menimpa baginda sangat hebat.
Bermula semasa lahir, baginda sudah kehilangan ayahnya, kemudian ibunya, datuknya, disusuli bapa saudaranya, sehinggalah isterinya yang tercinta, Siti Khadijah.
Orang-orang yang baginda kasihi sudah mengadap Illahi.
Ini belum lagi termasuk ujian dalam menyebarkan Islam untuk sampai kepada kita pada hari ini, bermacam-macam ujiannya.
Dibaling najis, gigi baginda patah dalam satu peperangan, dipulau dan bermacam-macam lagi tekanan  yang baginda hadapi.

Tapi ujian itu tidak  pernah menghalang baginda supaya menjadi orang sabar.
Cuba kita renungkan kembali  di zaman baginda s.a.w dahulu  tiada handphone, tiada facebook, tiada yahoo messenger dan tiada kemudahan internet seperti yang kita ada pada hari ini, tapi lihatlah kerana kecekalan, kesabaran baginda dan para sahabat, Islam sampai kepada kita hari ini dan kita mengenal Allah dan merasa indahnya iman.

Mungkin ada sesetengah mengatakan bahawa  baginda dapat menghadapi ujian-ujian tersebut kerana baginda merupakan seorang Rasulullah.
Mengapa pula begitu, baginda juga manusia biasa seperti kita, apa yang membezakan ialah baginda mempunyai keimanan yang benar-benar mantap.
Begitu juga dengan ujian yang baginda hadapi sesuai dengan kemampuan baginda.
Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat! Kita bagaimana?

Bicara tentang iman

Iman itu ialah ketaqwaan kepada Allah, penuh khauf dan raja'. Jadi apabila kita ditimpa ditimpa sesuatu musibah atau ujian pintalah kepada Allah agar dibesarkan iman untuk kita hadapinya bukan diminta dikecilkan masalah yang kita hadapi.
Kita boleh mengatasi segala ujian yang Allah berikan dengan tenang jika kita punyai pergantungan yang tinggi kepadaNYA.

Oleh itu apa jua masalah yang ada, muhasabah kembali hubungan kita dengan Allah, renungkanlah kembali.
Adakah kita telah menjaga sebaik-baiknya hubungan kita dengan-Nya?
InsyaAllah jika kita jaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan jaga hubungan kita dengan yag lain. Allah akan bantu kita dari segenap sudut yang kita tak sangka-sangka.
Tapi kalau saya dah jaga hubungan dengan Allah sebaiknya macammana pula?
Jika begitu, kita perlu muhasabah kembali, mungkin  tanpa kita sedari ada hak-hak dengan Allah kita tak tunaikan, begitu juga dengan hubungan sesama manusia.

Dan jika dah jaga semuanya, itulah dinamakan ujian sama ada kifarah dosa-dosa lepas atau peluang kita merebut pahala dan meningkatkan iman. Bukankah kita ini hanya manusia?
Jangan pernah lupa bahawa kita adalah hamba Allah s.w.t. Jadi, kita layak diuji kerana kita hanyalah hamba-Nya.

Jadilah hamba yang bersyukur.

Apa jua yang ada dalam hidup, syukurilah, belajarlah jadi orang yang sentiasa bersyukur. InsyaAllah  masalah-masalah yang kecil tidak akan timbul, dan kita akan miliki sifat sabar.
Rasulullah s.a.w, walaupun dijamin syurga tapi Baginda s.a.w, tetap  menunaikan solat  dan ibadah malam sampai kakinya bengkak-bengkak.

Dalam satu hadis, apabila ditanya Aisyah r.a, mengapa Baginda  beribadah malam sehingga kakinya bengkak sedangkan baginda sudah dijamin syurga, Baginda menjawab dengan tenang, "Aku ingin jadi hamba yang bersyukur".

 Tersenyumlah saudaraku, kerana tidakkah engkau sedar…ujian adalah tanda cinta Allah buatmu. Betapa Allah menyayangimu lantas Dia turunkan ujian buatmu supaya engkau senantiasa mengadu kepada-Nya….menitiskan air mata kesyahduan di atas sejadah cintamu…. Allahurabbi…….

ALLAH MENCINTAI

Lazimnya andai kita mencintai atau merindui seseorang, kita mempunyai keinginan untuk memberitahu orang lain. Seboleh-bolehnya biar semua orang tahu bahawa kita sedang mencintainya. Hati merasa bahagia andai perasaan itu dapat dikongsikan bersama.
Melalui jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter, kita dapat membaca pelbagai luahan mereka yang sedang bercinta. Antaranya:

"Saya sayang abang."
"Saya rindu ibu."
"Saya cinta kamu semua."

Agaknya, bagaimana pula jika Allah mencintai seseorang?

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: "Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!" Maka Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit dan berkata: "Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia." Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini." (Hadis Riwayat Bukhari)
MasyaAllah! Lihatlah cinta Allah..Sungguh luar biasa hebat..

Ketika Allah mencintai seseorang, Allah yang Maha Agung tidak cukup dengan hanya mengatakan "Aku cinta si dia!"

Tetapi Allah memaklumkan kepada seluruh makhluk-Nya.
Apa kata Allah dalam hadis tersebut?
"Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!"
Maka Jibril pun membuat pengumuman :
"Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia."

Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini.
Oh Ar-Rahman Ar-Rahim, bahagianya mereka yang benar-benar dicintai Allah. Pasti hidup mereka sentiasa tenang dan diberkati.

Ya Rahman, Ya Rahim, Engkau tumbuhkanlah putik-putik kerinduan ku kepadaMu,
Demi CintaMu Ya Allah pada Muhammad NabiMu, Ampunilah Dosaku Wujudkan Harapan ku

JANGAN BERPUTUS ASA DENGAN BERDOA

Alangkah ramai manusia yang bermohon kepada  Allah supaya dimakbulkan segala yang diinginkan, namun tidak jua dimakbulkan. Kemudian manusia mengeluh dan bersangka buruk kepada Allah, lantas putus asa mencari keredhaan-Nya. Itulah hakikat manusia saban hari.

"berdoalah kepadaKu, dan berimanlah agar kamu memperoleh kebenaran."
(surah Al-Baqarah:186)

Kita tidak berdoa pun Allah sudah sedia mengetahui segala isi hati manusia.
"dan Allah mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan."
(surah An-Nahl:19)

Jadi, mengapa masih perlu berdoa?
Berdoa sebagai tanda pengabdian diri kita sebagai hamba yang hina lagi dhaif kepada Allah, tidak ada tempat bergantung selainNya.

"cukuplah DIA sebagai tempat manusia bergantung harap dan tawakal."
(surah At-Taubah:129)

Tapi, mengapa masih tak termakbul juga doa?
Pandanglah diri sendiri, adakah kita lebih mencintai Allah daripada kesenangan duniawi? Cepat atau lambat dimakbulkan itu urusan Ilahi, kerana Dia Maha Mengetahui perkara yang terbaik bagi setiap makhluk ciptaan-Nya.

" dan apabila manusia ditimpa bahaya, Dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, Dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah Dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan."
(surah Yunus:12)

 Sekiranya kita tidak dapat perkara yang  dihajati, bersyukurlah dengan kondisi diri dinihari. Semakin dekat kita kepada Allah, semakin hebat dugaan. Itu membuktikan Allah sangat kasih kepada sekalian hamba-Nya, agar kita benar-benar ikhlas dalam mencari keredhaan-Nya serta tidak termasuk di dalam golongan yang lalai dan terbiar diabaikan.

Manusia yang diuji sedemikian rupa akan merasa manisnya iman, seolah-olah syurga sudah tersedia di hadapan mata, tapi ingatlah firman Allah dalam (surah Al-Baqarah:214) yang bermaksud:
"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (dugaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, "Bilakah datangnya pertolongan Allah?". Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."

Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, benarlah doa itu senjata orang-orang mukmin. Yakinlah dengan sepenuh hati. Dunia bukan syurga yang dicari, nikmat kesenangan dunia hanya setitis air di lautan sahaja.